Terkini
recent

Israel Tetap Meneruskan Penggalian Di Baitulmaqdis


BAITULMAQDIS 11 Feb.  Israel terus berdegil dan meneruskan kerja-kerja pembinaan tanjakan ke tapak suci di Baitulmaqdis hari ini tanpa mempedulikan bantahan dunia Islam.

Penduduk Palestin yang marah dengan kedegilan Israel itu meneruskan protes untuk hari ketiga dengan pelbagai cara termasuk membaling batu ke arah bas yang membawa pelancong Kanada.

Para pekerja kembali ke tapak yang menempatkan Masjid Al-Aqsa itu hari ini dengan dikawal ketat oleh polis Israel selepas berehat semalam untuk cuti Hari Sabbath.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld melaporkan tidak ada insiden baru pagi ini dan berkata, kerja-kerja membaiki laluan pejalan kaki pada atas puncak bukit yang dikenali sebagai Gunung Kuil itu akan diteruskan sepanjang hari.

Katanya, polis rejim Tel Aviv diarah berkawal di timur Baitulmaqdis dengan jumlahnya ditambah kepada 2,000 orang.

Polis Israel juga melarang penduduk Palestin yang berumur 45 tahun ke bawah daripada memasuki kawasan suci umat Islam itu bagi menghalang pertempuran berlaku lagi.

Sekitar 200 anggota polis terpaksa menggunakan bom pegun dan gas pemedih mata ke atas kira-kira 3,000 penduduk Islam yang merusuh kerana membantah kerja-kerja penggalian berhampiran Masjid Al-Aqsa itu, kelmarin.

Semalam kumpulan remaja Palestin turut melontar batu ke arah anggota keselamatan rejim Tel Aviv, membakar bendera Israel dan membaling batu ke arah bas pelancong Kanada.

Puncak bukit di Bandar Lama Baitulmaqdis yang pernah menjadi pencetus kemarahan penduduk Palestin terhadap Israel dianggap tempat ketiga paling suci kepada umat Islam kerana ia lokasi berlakunya peristiwa Israk Mikraj.

Bagaimanapun orang Yahudi mendakwa tapak berkenaan yang turut menempatkan sebahagian Tembok Barat iaitu tempat suci agama mereka.

Tel Aviv pula menafikan kerja-kerja pembaikan yang dijalankan akan menghampiri tapak suci yang menjadi rebutan itu.

Umat Islam membantah kerana kerja-kerja yang dilakukan pada jarak 60 meter akan merosakkan tapak suci berkenaan.

No comments:

Powered by Blogger.